- Lain-lain
 
Qinghai Bekalkan Sayuran Musim Sejuk ke Serata China

Pemprosesan awal saderi di provinsi Qinghai. (foto/Qinghai Daily)
Pada pertengahan Oktober, petani kebiasaannya akan sibuk menuai sayur-sayuran di ladang-ladang yang terletak di Kaunti Autonomi Tu Huzhu, bandar Haidong, Provinsi Qinghai di bara laut China.
Dari bulan Mei ke Oktober setiap tahun, sayur-sayuran musim sejuk yang pelbagai akan dihantar dari Xining, ibu kota Provinsi Qinghai dan Haidong kepada pasaran di serata negara dalam tempoh hanya dua hari sahaja.
Dengan memanfaatkan keadaan semula jadi yang unik, Qinghai telah menjadikan sayur-sayuran musim sejuknya kepada satu kelebihan istimewa dalam pembangunan pertanian tempatan.
“Kami memproses dan menjual sekitar 3,000 tan sayur-sayuran seperti brokoli, dengan nilai output sekitar RMB4 juta, dan masih terdapat sejumlah tanaman yang belum dituai,” ujar Xiang Chenggui, ketua koperasi petani di kaunti itu.
Brokoli, iaitu tanaman musim sejuk, bertumbuh dengan baik pada suhu di antara 15 dan 22 darjah Celsius. Menurut Xiang, brokoli itu juga tumbuh secara organik, secara tidak langsung memberikan hasil dalam kualiti yang cemerlang, selain sangat popular dalam kalangan pembeli.
Li Youquan, timbalan pengarah pejabat sayur-sayuran kaunti itu berkata, kawasannya yang berada pada ketinggian 2,600 meter secara purata tersebut menerima cahaya matahari yang banyak, mempunyai perbezaan suhu yang besar antara siang dan malam, serta musim panas yang dingin.
Jelas beliau, kesemua kelebihan itu memberikan suasana yang ideal untuk sayur-sayuran musim sejuk bertumbuh.
Mutakhir ini, peniaga sayur-sayuran dari kawasan seperti Shanghai, Guangdong dan Hong Kong telah membanjiri kaunti itu untuk membuat pembelian. Mereka akan dibantu oleh pekerja dari pejabat sayur-sayuran kaunti itu yang turut menyediakan kanopi dan meja ‘hotpot’, sekali gus membolehkan pembeli untuk menikmati kesegaran produk di tempat yang sama.
Ramai yang akan terpikat dengan rasa serta kesegarannya, dan mereka seterusnya akan membuat pesanan secara serta-merta.
Suasana yang sama turut boleh didapati di banyak tempat lain di provinsi itu termasuk di daerah Huangzhong, Xining.
“Daerah Huangzhong mula membangunkan 'bakul sayur' seawal 2010,” kata Hu Jiankun, pengarah pejabat sayur daerah Huangzhong. Sepanjang 15 tahun yang lalu, penanaman sayur-sayuran musim sejuk di daerah ini telah berkembang daripada penanaman di kawasan terbuka kepada rumah hijau dan kini beralih kepada pertanian kemudahan.
Dahulunya bermula sebagai plot kecil hanya beberapa mu (setiap 1 mu bersamaan dengan kira-kira 0.067 hektar), ia kini berkembang menjadi operasi koperasi yang merangkumi lebih daripada 1,000 mu. Industri itu juga telah berkembang daripada kebanyakannya membekalkan pasaran tempatan, kepada mencapai pengguna di seluruh negara.
Daerah Huangzhong memberikan gambaran tentang industri sayur-sayuran musim sejuk Qinghai yang berkembang maju. Tahun lepas, jumlah kawasan penanaman sayur-sayuran musim sejuk wilayah itu mencecah kira-kira 660,000 mu, menghasilkan sekitar 1.58 juta tan sayur-sayuran, dengan 700,000 tan dijual di luar Qinghai.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, satu pasukan yang diketuai oleh Zhong Qiwen, presiden Akademi Pertanian dan Sains Perhutanan Qinghai, telah membangunkan 28 jenis sayuran dataran tinggi baharu secara kendiri dan memperkenalkan lebih daripada 50 jenis yang ditanam oleh pakar dalam industri sayur-sayuran.
Sayur-sayuran musim sejuk Qinghai tidak hanya popular di serata China, malah turut mendapat perhatian dalam pasaran antarabangsa. Sehingga hari ini, bandar Haidong telah mewujudkan 29 pangkalan sayuran berorientasikan eksport yang diiktiraf oleh kastam, meliputi sekitar 54.3 peratus daripada eksport sayur-sayuran keseluruhan provinsi itu.
“Tahun ini, kami jangkakan eksport Haidong untuk produk pertanian istimewa akan mencapai 10,000 tan. Pada separuh pertama tahun ini, daerah Ledu di bandar itu telah mengeksport lebih daripada 4,200 tan sayur-sayuran yang bernilai AS$1.28 juta, menjual lada benggala ke Rusia dan kentang kepada Kyrgyzstan,” ujar Chen Dong, timbalan pengarah biro hal ehwal pertanian dan luar bandar Haidong.
Ledakan industri sayur-sayuran musim sejuk dataran telah menjadi kuasa pendorong yang kuat buat kemakmuran luar bandar. Zhu Anxiang, pengarah pusat perkhidmatan teknologi sayur-sayuran di Kaunti Autnomi Tu Huzhu memaklumkan bahawa kawasan itu mengeluarkan 170,000 tan sayur setiap tahu, dengan 130,000 tan daripadanya dijual di luar Qinghai.
Untuk rekod, nilai output keseluruhan industri sayur-sayuran tempatan melangkaui RMB760 juta dan lebih daripada 20,000 isi rumah petani turut sama terlibat dalam industri itu.
- Sulaman Kulit Cipta Pekerjaan, Tambah Pendapatan Kaum Wanita di Qinghai
 - Pesta Naadam Disambut Penuh Meriah di Padang Rumput Qinghai
 - Robot Antelop Tibet Mantapkan Kajian di Rizab Hoh Xil
 - Dahulu Cedera, Harimau Bintang Salji Kini Hampir Pulih di Zoo Xining
 - Industri Tasik Garam Berkembang di Qinghai
 - Kubu Kuno di Qinghai Dihidupkan Semula dengan Seni dan Pelancongan
 - Artisan Xining Jadikan Warisan Budaya Sebagai Sebahagian Daripada Kehidupan Moden
 - Haiwan Liar Hidup Biak di Hoh Xil
 - Indahnya Pemandangan Malam Tasik Longyang Ditaburi Lampu
 - Ladang Biji Sesawi Lonjak Pelancongan di Menyuan
 
				
			



