- Lain-lain
 
Sektor Padang Rumput, Perhutanan China Bentuk Empat Industri Bernilai Lebih RMB1 Trilion

(foto/Biro Perhutanan Provinsi Hubei)
Sebuah laporan yang telah diserahkan kepada Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) pada Ahad menunjukkan bahawa sektor padang rumput dan perhutanan China telah membangunkan empat industri bernilai lebih RMB1 trilion (sekitar AS$141 bilion) setiap satunya.
Memetik agensi berita Xinhua, laporan itu memaklumkan bahawa output keseluruhan sektor itu dicatatkan sebanyak RMB10.5 trilion pada 2024, yang membentuk empat industri tonggak iaitu pemprosesan kayu, hutan ekonomi, pelancongan hutan dan ekonomi di bawah hutan, dengan keempat-empatnya merekodkan nilai output melebihi RMB1 trilion.
Meskipun dengan kemajuan yang sedemikian, laporan tersebut menyebut bahawa asas industri itu masih lemah, dengan penggunaan sumber yang terhad dan output per unit yang secara relatifnya rendah.
Justeru, ia menyeru terhadap usaha untuk membangunkan sistem industri padang rumput dan perhutanan moden yang meliputi jualan dan pembangunan produk, ekopelancongan, kesejahteraan hutan, pendidikan alam sekitar dan perkhidmatan lain yang berkaitan.
Dari sudut sokongan dasar, laporan itu juga menzahirkan harapan terhadap pelaburan belanjawan pusat yang lebih besar dalam infrastruktur dan pembinaan pangkalan industri di kawasan-kawasan hutan, serta penggunaan alat kewangan hijau yang lebih kuat bagi mengembangkan sokongan kredit untuk sektor tersebut.
				
			



